Apakah rencana hari ini?
Dalam Berita Harian semalam (17 Mac), rata-rata berita yang disiarkan merupakan laporan yang bertujuan menonjolkan imej parti Barisan Nasional. Sedikit contoh tajuk berita yang disiarkan akhbar ini boleh memberi gambaran kasar tentang kecenderungan politik akhbar arus perdana ini: “Ulama tolak dedah aib”; “Manifesto bukti Pas menipu rakyat: Pak Lah”; Isyarat rakyat Kedah pilih BN”; “Pas ketengah ‘manifesto lawak”: Mohd Ali”; “Sokong Pak Lah demi kesejahteraan: Dr M”; dan “’Manifesto seminggu’ parti lawan perdaya rakyat”.
Ini bukanlah bermakna tiada berita yang mengisahkan aktiviti parti pembangkang; ada tapi sedikit bilangannya dan yang adapun pada umumnya sekadar memberi gambaran negatif terhadap pembangkang.
Selain dari berita, akhbar ini juga menyiarkan apa yang dilabelkan sebagai “Rencana”, penulisan yang berkisar kepada pembangunan yang dilalui oleh beberapa negeri di bawah pemerintahan BN. Misalnya, di halaman 13 ada sebuah “rencana”, bertajuk “Johor bumi subur, janjikan hidup selesa”, memperagakan projek pembangunan yang dilaksanakan oleh kerajaan negeri Johor. Di bawahnya pula diletakkan satu lagi “rencana” yang memperkatakan hal skim membantu rakyat miskin untuk memiliki rumah sendiri di Johor. Projek ini juga melibatkan Orang Asli di negeri itu. Begitu juga halnya dengan “rencana” yang tertera di halaman 19, bertajuk “Melaka laksana program celik IT untuk pesara, suri rumah”.
Pendek kata, “rencana” ini berfungsi sebagai sebahagian kempen politik BN, atau boleh juga disifatkan sebagai satu public relations exercise bagi parti berkenaan. Dalam rencana seperti ini tidak ada ruang diberikan kepada pandangan yang kritis terhadap beberapa aspek projek pembangunan yang telah dijalankan. Ini juga bermakna tiada kemungkinan berlakunya perdebatan atau perbincangan tentang isu-isu yang berkaitan dengan pembangunan negara.
Seperkara lagi, pembaca juga mungkin tertanya-tanya sama ada treatment yang sama dapat diberikan oleh akhbar berkenaan terhadap projek pembangunan yang telah dilaksanakan di negeri Terengganu dan Kelantan yang berada di bawah pemerintahan PAS.

0 Comments:
Post a Comment
<< Home