Iklan Politik DAP dan Laporan Adil di Oriental Daily
Oriental Daily cuba menonjolkan amalan jurnalisme yang profesional. Akhbar harian ini menerbitkan edisi khas pilihanraya yang bersaiz separuh sebanyak 24 muka surat. Amalan biasa akhbar Cina secara umumnya akan mendapatkan pendapat dari calon-calon dan analisis yang biasanya juga bersifat pandangan elit politik dan fokus ditumpukan pada peringkat nasional dengan pengabaian suara lain yang kritikal daripada masyarakat sivil.
Pada 17 Mac, edisi khas Oriental Daily menjadikan topik suara masyarakat sivil sebagai tema utama. Dr. Mavis Puthucheary ditemuduga dan isu masyarakat sivil dalam pilihanraya diketengahkan yang membincangkan Malaysian Voters Union dan Pemantauan Media Pilihanraya oleh Charter2000-Aliran. Pada muka surat keempat edisi khas ini, Ho Khai Leong, seorang ahli akademik yang kritis terhadap parti politik MCA ditemuduga. Pada 20 Mac, penganalisis politik yang kritis Wong Wing Oon dan M G G Pillai juga ditemuduga untuk membincangkan isu pilihanraya.
Analisis setiap kawasan Parlimen mahupun kawasan DUN yang hangat, calon BN dan calon pembangkang masing-masing diberi pengenalan dengan foto dan symbol atau logo parti serta pengalaman politik calon. Ini boleh dianggap sebagai corak kesungguhan kewartawanan profesional untuk memberi ruang adil kepada kedua-dua pihak yang bertanding.
Dalam terbitan tempatan Utara Semenanjung Malaysia dan Perak, wujud pula dua iklan politik masing-masing bersaiz satu muka surat yang menyokong calon DAP (17 Mac). Satu daripadanya bertemakan “Parlimen Memerlukan Karpal Singh Yang Berani Bersuara”, dan satu lagi pula menunjukkan sokongan terhadap Lim Kit Siang yang bertemakan “Harap Dapat Mendengar Suara Anda (merujuk kepada Lim Kit Siang) Di Parlimen”. Kedua-dua iklan tersebut dibiayai atas nama segolongan penyokong DAP yang menuntut keadilan. Iklan politik diteruskan pada hari berikutnya, iaitu 18 Mac, 19 Mac dan 20 Mac.

0 Comments:
Post a Comment
<< Home