25 March 2004

Liputan Media Cina Pada Pilihanraya Ke-11: Jurnalisme Ala Asia?

Kajian yang telah dijalankan untuk Pilihanraya 1999 oleh pengkaji media Cina, Chang Teck Peng, mendapati bahawa liputan yang lebih pro-BN adalah disebabkan faktor "ketakutan" terhadap Dr. Mahathir Mohamad ketika beliau masih bertugas sebagai Perdana Menteri, yang merupakan orang yang pernah menamatkan permit penerbitan akhbar.

Tetapi pada Pilihanraya 2004 faktor ini sudah tidak dapat dijadikan alasan dan tambahan pula dengan wujudnya akhbar baru, Oriental Daily yang membuka persaingan akhbar Cina memasuki era baru yang lebih sengit. Adakah media Cina melaksanakan tugasnya secara profesional dan memuaskan sepanjang pilihanraya?

Akhbar Cina

Walaupun secara amnya akhbar Cina cuba mengimbangi berita antara BN dan pihak pembangkang, tetapi apa yang menjadi paradoks ialah kepentingan persaingan antara akhbar dalam membuat liputan pilihan raya mengatasi kepentingan liputan pilihanraya. Apa yang dimaksudkan di sini ialah wujud usaha-usaha yang keterlaluan dalam menarik minat pembaca untuk tujuan persaingan ditumpukan perhatian yang lebih berbanding isi-isi kandungan yang penting untuk masa depan negara.

Misalnya, Sin Chew Daily menerbitkan edisi khas yang mendapatkan ilham dan kreativiti dari zaman lampau sebagai asas konsep liputan dan pemaparan gambar-gambar hiasan di muka surat hadapan. Ketua Editor Sin Chew Daily pada kolum interaksi dengan pembaca baru-baru ini mengatakan bahawa,

“Selepas pembubaran Parlimen, edisi khas dikeluarkan dengan penjelasan bahawa, kami (sidang editor) mengibaratkan pilihanraya sebagai peperangan orang moden yang tidak berdarah. Oleh itu sepanjang 18 hari, ‘peperangan’ ditemakan dalam edisi khas. Hiasan muka surat depan edisi khas, tajuk besar, nama kolum-kolum dan sebagainya dengan sengaja menggunakan kata-kata nama dan gambar-gambar yang berkaitan dengan ‘peperangan’.”

Tambah beliau yang juga mendapat ilham dari “The Romance of Three Kingdoms” (Sanguo Yanyi) untuk analisis politik dalam kolum komentar khas sendiri sepanjang pilihan raya,

“Sesetengah pihak menganggap kaedah ini sebagai keterlaluan. Kami pernah mendapatkan pandangan dari pelbagai pihak, menurut respon kebanyakan pembaca, mereka agak memuji cara pemaparan sedemikian dan berasa ‘cukup kreatif’… walau bagaimanapun kami sedia menerima kritikan…” (halaman 03, 22 Mac, Sin Chew Daily)

Konsepsi tema “peperangan” dan unsur pra-moden ini mungkin memang terbenam dalam praktik jurnalisme pemberita dan mungkin akan mempengaruhi pemikiran pembaca. Dengan ini, faktor budaya secara langsung telah campurtangan dalam proses modenisasi yang mungkin tidak mendatangkan kebaikan dalam penghargaan nilai-nilai demokrasi.

Apakah ini jurnalisme ala Asia (“Asian journalism”)? Walaupun BN dan
pihak pembangkang diberi ruang dan peluang, ini bukan kerana prinsip adil, tetapi lebih kepada kepercayaan tradisional yang ingin berbaik-baik dengan semua pihak dan berpendirian neutral yang mempunyai pertimbangan hipokrit. Apabila timbul isu penting, sidang editor akan mengetengahkan isu untuk sementara waktu sahaja dan akan menarik diri secara tiba-tiba kerana takut dianggap sengaja bermusuhan dengan pihak berkuasa. Nilai-nilai tidak berkonfrontasi telah mendasari prinsip kewartawanan, lebih-lebih lagi dalam realiti pihak yang memegang kuasa memang lebih mendapat pertimbangan serius berbanding pihak yang tidak berkuasa.

Nanyang Siang Pau juga mengeluarkan edisi khas yang lebih bersifat “section two”, berunsur hiburan dan liputan-liputan yang ringan dan remeh. Misalnya gambar-gambar yang “lucu” diambil dan dipaparkan dengan besar. Banyak temuduga yang dibuat ialah mengenai hubungan kekeluargaan calon-calon yang bertanding dengan fokus bagaimana calon berkenalan dengan isteri, anak berapa, kerja apa dan semacam-macam lain yang remeh-temeh yang dianggap senang dibaca dan menarik perhatian pembaca.

Banyak pemerhati masyarakat yang mengeluh tiada isu atau agenda pada pilihanraya kali ini. Nampaknya tiada usaha penonjolan sesetengah isu penting oleh akhbar adalah antara sebab kehilangan isu politik. Bukankah isu pengambilalihan Nanyang Siang Pau dan China Press oleh MCA, isu pemansuhan ISA, isu pembukaan semula S.R.J.K. (C) Damansara lebih penting?

Oriental Daily yang berusia satu tahun tiga bulan nampaknya berusaha untuk bersaing dengan suratkhabar Cina yang lain. Sesetengah pembaca menilai Oriental Daily sebagai “feel young”, iaitu memberi perasaan lebih muda dalam pemilihan isu-isu dan cara hiasan muka surat. Tetapi ianya masih tidak berupaya memberi alternatif yang lain jikalau pembaca inginkan akhbar Cina yang lebih berkualiti.

Kwong Wah Yit Poh menumpukan perhatian yang lebih di kawasan semenanjung Malaysia utara kerana ianya akhbar tempatan. Liputan akhbar ini nampaknya lebih bergantung kepada si pemberita yang menulis tanpa pendirian adil kepada semua pihak yang berkekalan dan berterusan. Pada sesuatu hari, pemberita yang lebih menumpukan perhatian kepada pembangkang akan cuba mengimbangi sesetengah pemberitaan yang jelas lebih pro-BN dan Islamfobia terhadap PAS. Kolum komentar dari pembaca tidak kurang suara-suara dari pihak pembangkang.

China Press tidak begitu mementingkan liputan pilihan raya berbanding akhbar lain dan tetap dengan berita-berita “sensasi” yang menarik pembaca seperti biasa. Misalnya, pada muka surat hadapan semasa pilihan raya berjalan China Press melaporkan seorang pemuda yang dirampas telah dibogelkan dan dibiarkan oleh perompak di kawasan pedalaman. Pemuda tersebut diselamatkan oleh seorang yang “baik hati”, tetapi malang tidak berbau, semasa pemuda tersebut mandi orang yang “baik hati” mencabuli organ kemaluan pemuda. Ini “profesional” ala China Press pada hari-hari biasa.

Satu lagi kecenderungan akhbar Cina ialah asyik memuji diri sendiri. Contohnya pada hari pembubaran Parlimen Sin Chew Daily, Kwong Wah Yit Poh dan Nanyang Siang Pau yang mengeluarkan edisi khas menggelar diri sebagai bergerak dengan cepat dan memenuhi kehendak pembaca, edisi khas telah “dirampas habis” oleh pembaca.

Pujian sendiri tentang edisi khas daripada sidang editor atasan seperti mengatakan edisi khas mereka adalah bernilai untuk simpanan rujukan, berita mereka lebih cepat, berita mereka lebih adil dan sebagainya terlampau banyak. Pembaca agak muak dengan pujian-pujian yang sedemikian di akhbar Cina. Pembaca inginkan liputan yang mendalam dan adil tetapi bukan pembaziran ruang untuk tujuan propaganda dan kepentingan diri.

Media Elektronik

Berita Mandarin TV2 ialah media elektronik yang paling tidak adil. NTV7 boleh dikatakan antara yang paling bagus dari segi pemberian ruang kepada kesemua pihak yang bertanding dan ia mempunyai cara penyampaian yang menarik. Ini diikuti pula dengan Berita Mandarin Bernama di ASTRO AEC yang berat sebelah juga tetapi tidak seberat sebelah TV2.

Daripada kesemua media Cina di Malaysia baik media cetak mahupun media elektronik yang dipantau, nampaknya Buletin Berita Mandarin TV2 merupakan media yang paling tidak profesional. Berita Mandarin TV2 perlu menukar nama menjadi “Berita Mandarin Barisan Nasional TV2”!

0 Comments:

Post a Comment

<< Home