19 March 2004

Nanyang Siang Pau Selepas Dimiliki MCA

Nanyang Siang Pau yang pernah dituduh menyebabkan kekalahan BN pada pilihanraya kecil di kawasan Lunas semakin memihak kepada BN pada pilihanraya kali ini.

Walaupun Nanyang cuba mengimbangi liputan BN dan pihak pembangkang, tetapi liputan pihak pembangkang yang penting sengaja diperkecilkan dari segi saiz, misalnya kenyataan Hadi Awang bahawa kemungkinan politik wang terlibat dalam kes penarikan calon PAS di Johor diberikan liputan yang tidak menonjol berbanding liputan kemenangan Syed Hamid (15 Mac, A15).

Tambahan pula liputan pihak pembangkang adalah berunsur negatif dan bersaiz besar, misalnya isu Syed Hussein Ali menarik diri dari pencalonan kawasan Parlimen Kota Bharu (12 Mac) dan ketidaksefahaman antara DAP dengan Parti Keadilan Rakyat mendapat liputan halaman hadapan (13 Mac).

Manifesto BN pula diberikan liputan yang begitu meluas di muka surat hadapan dan tambahan liputan pada A4 serta A5 (15 Mac), manakala Manifesto BA hanya wujud pada muka surat A9.

Pada 15 Mac di halaman A17 wujud liputan berkenaan keganasan dalam aktiviti berkempen. Tajuk berita ialah “Hari Penamaan Calon Berlaku Keganasan, Pihak Pembangkang Bergaduh Dengan Orang Awam”. Dalam pengolahan berita tersebut, pihak pembangkang dikatakan bertelingkah dengan orang awam tanpa menyatakan parti politik yang terlibat, tidak ada juga sebarang maklumat tentang sebab berlaku peristiwa ini, dan tidak juga disebut siapa pula orang awam yang menyibuk ini!

Apa yang menjadi persoalan ialah profesionalisme dan masa depan Nanyang Siang Pau setelah bekas setiausaha Cina peribadi bekas Perdana Menteri Tun Mahathir dilantik sebagai Ketua Editor akhbar itu, dan tambahan lagi MCA masih mengekalkan pemilikannya. Kekhuatiran masyarakat umum tentang kehilangan kredibiliti akhbar tersebut nampaknya terus menjelma.

Akhir-akhir ini kenyataan berkaitan dengan seruan pembaca supaya tidak menyokong calon yang bersetuju dengan penglibatan parti politik dalam industri media yang dikeluarkan oleh WAMI (kumpulan penulis Cina yang menentang pengambilalihan akhbar oleh parti politik) telah dinafikan haknya untuk mendapat liputan dalam semua suratkhabar Cina, termasuklah Nanyang Siang Pau.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home