21 February 2008

Makkal Osai yang belum dapat permit 2008 lebih pro-Barisan

Semakin menghampiri pilihanraya umum, semakin banyak berita Barisan Nasional yang diterbitkan dalam surat khabar Tamil, khususnya Makkal Osai dan Malaysia Nanban. Boleh dikatakan bahawa 62 peratus berita di Makkal Osai pada 19 Februari dikuasai oleh berita pro-Barisan Nasional (BN), 11 peratus untuk parti pembangkang dan 27 peratus bagi berita neutral. Manakala, Malaysia Nanban pula menerbitkan 49 peratus berita pro-BN, 11 peratus pro pembangkang dan 24 peratus neutral.


Ini menunjukkan bahawa kebanyakan ruang media berada di tangan Barisan Nasional, walaupun pandangan umum ialah akhbar Makkal Osai lebih bebas daripada dua pesaingnya. Ini mungkin dapat dijelaskan kerana akhbar ini masih belum mendapatkan permit penerbitannya.


Analisis yang membincangkan isu tentang bakal calon dan bekas calon agak menarik kerana ia menerangkan mengapa bekas calon mungkin gagal memperolehi kerusi dalam pilihanraya ini. Contohnya muka terakhir Malaysia Nanban mengatakan ketua–ketua tempatan tidak berpuas hati apabila mendengar Komala Krishnamoorthy (wakil Parlimen Kapar dan sebelum ini Setiausaha Parlimen Kementerian Pelajaran) dan Kamala Ganapathy dari kawasan dewan undangan negeri Sri Andalas mungkin akan dipilih sebagai calon semula. Dikatakan walaupun ramai yang tidak menyokong kedua-dua calon ini, namun mereka diberi jaminan oleh presiden parti bahawa mereka akan bertanding lagi. Ini menunjukkan niat sebenar masyarakat secara tidak langsung.


Salah satu kebiasaan akhbar Tamil ialah untuk menterjemahkan artikel dari akhbar lain.

Hari ini, analisis yang diterjemahkan ialah dari The Star yang agak berfaedah kerana ia membincangkan bagaimana MIC akan berhadapan dengan pilihanraya pada 8 Mac nanti, terutamanya dengan mengambil kira kesan kumpulan Hindraf ke atas parti itu.


Di samping itu, terdapat juga berita yang menunjukkan bahawa wujudnya perselisihan faham di antara ahli-ahli Indian Progressive Front (IPF). Parti ini pada mulanya ialah lawan MIC tetapi sejak beberapa tahun kebelakangan ini, telah membuat komitmen untuk menyokong BN. Dua hari lepas, anak Samy Vellu, Vel Pari membuat kenyataan bahawa parti itu milik pakciknya iaitu G. Pandithan yang menerajui parti ini sejak awal lagi. Tetapi, terdapat pihak lawan dalam IPF sendiri yang tidak bersetuju akan kenyataan ini dan sikap presiden Pandithan yang berbaik dengan Samy Vellu. Ketua puak kedua K. Panjamurai berkata parti itu bukan milik mana-mana pemimpin tetapi adalah milik ahli-ahli. Makkal Osai yang mengemukakan berita ini di muka depan dan muka surat 13 melaporkan bahawa kedua-dua MIC dan IPF akan bergabung untuk memperjuangkan kemenangan BN.


Di muka depan Malaysia Nanban dan muka surat 13nya, penasihat Parti Keadilan Rakyat Anwar Ibrahim diberi ruang agak besar. Beliau dilaporkan berkata di satu ceramah di Brickfields bahawa dia tidak akan mengkhianati orang India sekiranya mereka memberi sokongan kepadanya. Beliau menggunakan isu Hindraf dan perhimpunan pemberian bunga ros sebagai alat publisiti untuk mendapatkan undi bagi calon parti itu seperti R. Sivarasa dan S. Manickavasagam, kedua-duanya ahli majlis tertinggi PKR yang turut berucap pada hari tersebut.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home