Nanban beri ruang untuk analisa isu penting
Daripada lebih 30 berita yang berkenaan dengan pilihanraya umum dalam Malaysian Nanban pada 18 Februari, didapati bahawa hampir setengah daripadanya lebih menyokong parti-parti Barisan Nasional dan hanya sembilan peratus yang menyentuh isu parti pembangkang. Satu pemerhatian yang penting ialah kandungan lain yang boleh dianggap neutral. Ini terutamanya diperlihatkan dalam analisis yang diterbitkan dalam beberapa helaian akhbar ini.
Bahagian analisis agak menarik dan mengandungi banyak maklumat kerana ia membincangkan pelbagai isu seperti pendidikan, pilihanraya, masalah sekolah Tamil, Hindraf dan sebagainya. Analisis ini memberikan ruang kepada pembaca untuk berfikir akan kebaikan dan keburukan kesemua parti sebelum mebuat keputusan. Sebagai contoh, antara isu yang dibincangkan ialah pertanyaan ibubapa mengenai nasib sekolah Tamil yang masih belum menampakkan penyelesaian. Malah setiap hari masalah sekolah Tamil semakin bertambah. Bahagian analisis diberikan ruang yang agak besar dan juga diterbitkan di muka depan; ia menunjukkan betapa pentingnya artikel seperti ini dalam membantu pembaca mendapatkan maklumat bermutu.
Malangnya, berita-berita yang menfokus pro Barisan Nasional sebenarnya memberikan publisiti percuma kepada parti- parti seperti MIC dan PPP berbanding memberikan pendedahan yang terang dan mendalam. Selain itu, ia juga bias apabila gagal memberikan informasi yang seimbang daripada kedua-dua pihak. Ia juga meyiarkan banyak gambar pemimpin dari parti ini.
Selain itu, Malaysia Nanban juga lebih menerbitkan berita–berita yang positif yang mana secara tidak langsung akan mengalihkan pemikiran masyarakat kepada isu-isu positif sahaja dan bukan di sebaliknya. Ia juga boleh disifatkan sebagai satu taktik bagi menghalang masyarakat untuk mengimbas kembali perkara-perkara negatif yang telah berlaku seperti tuntutan Bersih, Hindraf, masalah gaji, rumah dan sebagainya.
Walaupun Malaysia Nanban kurang neutral dalam menyebarkan maklumat kepada pembaca kerana bias terhadap satu pihak, namun bias ini dapat diimbangi oleh bahagian analisis yang agak signifikan.

0 Comments:
Post a Comment
<< Home