23 February 2008

Pemimpin BN “lupa” janji 7 isu dalam publisiti mereka

Muka bakal calon MIC telah mendominasi muka depan kedua-dua akhbar Tamil pada 21 Februari 2008, terutamanya pada 12 calon baru yang diumumkan dalam usaha mendapatkan balik sokongan psikologi masyarakat India.


Selain itu, President MIC S Samy Vellu juga berharap akan mendapat 100 peratus sokongan dan undian daripada masyaarakat India. Namun pandangan masyarakat agak berlainan dengan beliau apabila ramai tidak berpuas hati dengan pemilihannya. Malaysian Nanban pula, yang sebelum ini dikaitkan dengan pencabar Samy Vellu, iaitu S Subramaniam, memberi gambaran seolah-olah ramai penyokong bekas timbalan presiden itu tidak dinamakan sebagai calon.


Sentimen ini jelas lagi pada hari Jumaat,, 22 Februari, apabila dilaporkan bahawa terdapat ketua-ketua MIC tempatan dan penyokong mereka yang tidak puas hati dengan calon yang dinamakan, lalu membuat keputusan untuk bertanding sebagai calon bebas. Isu ini dilaporkan dalam kedua-dua akhbar Tamil yang dipantau. Antara kawasan yang dikatakan mungkin memperlihatkan calon bebas ialah di Bagan Dalam, Pulau Pinang dan Perai, Butterworth. Ini membuktikan bahawa masyarakat masih peka dengan isu-isu semasa dan berani bertanding.


Walaupun pihak-pihak parti BN dan pembangkang cuba menunjukkan yang mereka akan memperjuangkan isu masyarakat India, ia hanya sebagai publisiti kepada pihak yang terlibat. Ini paling ketara kepada parti BN di mana tiada sesiapa yang merujuk kepada tujuh isu kritikal masyarakat India yang dikenalpasti oleh Timbalan Presiden Umno selaku Timbalan Perdana Menteri Najib Razak dan Samy Vellu semasa perhimpuan MIC di PWTC baru-baru ini. Wakil BN yang dilaporkan seolah-olah lupa akan janji-janji manis pada perhimpunan itu dan tidak memberi sebarang maklumat atau cadangan untuk mengatasi masalah yang dikenalpasti.


Selain itu, parti pro Barisan Nasional seperti Umno dan parti-parti pembangkang iaitu Pas, DAP dan Keadilan mula memperkenalkan bakal calon mereka untuk pilihanraya ini. Isu-isu seperti ini mendapat liputan yang agak besar dalam kedua- dua akhbar ini. Akhbar Malaysia Nanban agak bias dalam kedua-dua hari kerana menerbitkan 69 peratus berita pro-Barisan Nasional, 22 peratus pro-pembangkang semalam, dan 74 peratus pro-BN dan 18 peratus hari ini. Manakala Makkal Osai pula lebih cenderung ke arah neutral dengan menerbitkan 54 peratus berita pro-BN dan 43 peratus pro-pembangkang semalam berbanding 49 peratus pro-BN dan 31peratus pro-pembangkang hari ini.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home