22 February 2008

Wartawan akhbar Tamil dihalang membuat liputan

Sekali lagi, wartawan-watwanan dari suratkhabar Tamil dihalang daripada menjalankan tugas mereka dalam membuat liputan satu mesyuarat di Bahau, Negeri Sembilan. Wartawan-wartawan ini, terutamanya dari Malaysia Nanban, dihalang dari menyertai mesyuarat masalah tanah di Kampung Melor di sana. Berita ini disiarkan di muka pertama akhbar Malaysian Nanban (pada 20 Februari).


Ini bukanlah peristiwa pertama yang menimpa wartawan menjelang pilihanraya. Setiap kali pilihanraya, mesti ada kes atau tindakan bekas atau bakal calon yang menghalang para wartawan daripada menjalankan tanggungjawab mereka iaitu menyebarkan maklumat yang betul dan berguna kepada masyarakat. Antara kes-kes sebelum ini ialah yang menimpa wartawan dari Malaysian Nanban dan Makkal Osai semasa meliputi pilihanraya kecil Machap. Kebebasan wartawan untuk menjalankan tugas tanpa tekanan sebegini adalah antara tuntutan bersama Pusat Kewartawana Bebas ( CIJ), Jaringan Penulis untuk Kebebasan Media (WAMI), Charter 2000-Aliran dan CSI-Parliament iaitu tiada sesiapa pun yang boleh menghalang kebebasan maklumat dan kebebasan bersuara.


Sementara itu, muka depan dan muka belakang Makkal Osai dikuasai penuh oleh berita pro-Barisan Nasional dan dua berita neutral. Makkal Osai hari ini banyak menmbincangkan tentang siapakah bakal calon BN yang akan bertanding untuk pilihanraya yang akan datang. Muka depan Makkal Osai dan Malaysia Nanban (juga pada 20 Februari) telah memberikan ruang yang agak besar bagi menerbitkan kenyataan S Samy Vellu iaitu beliau akan mengundur diri tapi seolah-olah meminta peluang untuk membenarkannya bertanding dalam pilihanraya ini. Sebenarnya terdapat juga udang di sebelah kata-kata iaitu cuba menukarkan kemarahan dan kebencian masyarakat India dengan bersifat hampa. Sudah pasti beliau telah meneka pecahan undi masyarakat India selepas perhimpunan Hindraf dan penangkapan penyokong- penyokong Hindraf. Maka, nampaknya, beliau menggunakan taktik baru bagi menyatukan balik kesemua undian itu.


Di samping itu, S Nallakaruppan yang memulakan parti baru Malaysian Indian United Party (MIUP) pula mengkritik Anwar Ibrahim dalam pelancaran cawangan MIUP di Pulau Pinang. Menurut Nalla, Anwar tidak suka mendengar bunyi loceng kuil pada masa dia menjadi timbalan perdana menteri, tetapi kini, Anwar menyeru masyarakat Indiaa supaya mempercayai dan menyokongnya. Selain itu, menurut Malaysia Nanban semalam, Anwar berjanji tidak akan mengkhianati masyarakat India sekiranya mereka menyokongnya.


Nalla adalah antara pemimpin dari MIC yang kemudian menyertai Parti Keadilan Rakyat, dan akhirnya menubuhkan partinya sendiri yang kini menyatakan sokongan kepada Barisan Nasional. Akhbar Tamil seperti Makkal Osai pernah juga menyiarkan iklan Nalla apabila parti itu dilancarkan pada 25 November lalu (sehari dengan perarakan Hindraf) untuk mendapat ahli.


Antara pemimpin Barisan Nasional yang mendapat perhatian ialah ketua wanita Umno Shahrizat Abdul Jalil yang menyeru kepada orang ramai supaya mengundinya untuk menunjukkan penghargaan mereka kepada jasanya. Kenyataannya agak lucu kerana sebagai wakil rakyat (yang dipilih oleh rakyat sendiri) Shahrizat bertanggungjawab menjalankan segala tugas yang diberikan kepadanya demi menjaga kebajikan dan kesejahteraan rakyat.


Bekas menteri penerangan Zainuddin Maidin dari kawasan Merbok turut mendapat ruang agak besar hampir setiap hari, lebih daripada media arus perdana yang lain. Apa agaknya sebab akhbar Makkal Osai memberikan ruang itu? Sememangnya majlis yang dihadiri kebanyakannya melibatkan masyarakat India, tapi adakah ini satu usaha untuk menenangkan ketegangan yang menimpa mereka? Tepuk dada, tanya selera.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home