Charter2000
Widening the boundaries of media freedom in Malaysia
      Back       Endorsers        

Piagam 2000: Satu inisiatif media rakyat Malaysia

 

Mukadimah

Kami, rakyat Malaysia, mempunyai hak asasi kebebasan bermaklumat dan hak untuk mendapatkan pelbagai pandangan dan pendapat. Sejak beberapa tahun yang sudah hak asasi ini telah dinafikan kami. Media telah dilemahkan daripada memainkan peranan sebagai saluran maklumat yang berwibawa dan pandangan yang berbeza-beza.

Memandangkan keadaan aib media Malaysia, terutama sekali peranannya yang menidakkan realisasi hak asasi kami, kami, rakyat Malaysia, menuntut agar institusi media kami diperbaiki.

Latarbelakang

Dewasa ini kawalan ketat dan selektif yang telah dikenakan terhadap lesen media telah menghindari kumpulan dan organisasi bebas daripada menerbitkan penerbitan dan stesen penyiaran mereka. Keadaan sedemikian rupa telah hanya membolehkan segelintir kepentingan politik dan ekonomi untuk memantap dan mengekalkan kawalan mereka terhadap masyarakat melalui media yang 'pak turut'.

Kawalan media yang bercorak politik menidakkan hak orang ramai untuk mendapatkan julat pandangan yang penuh. Kawalan ini 'merompak' peluang orang ramai untuk membuat sesuatu keputusan yang baik dan oleh itu masyarakatlah yang akan menanggung rugi.

Di bawah kawalan ketat ini, media berkecenderungan untuk memapar dan mempromosi agenda elit politik dan golongan kaya manakala keprihatinan masyarakat madani yang berautonomi, yang miskin dan kumpulan terpinggir diketepikan.

Kawalan terhadap media kritis telah menghasilkan penangkapan besar-besaran oleh pihak pemerintah. Ini berlaku pada tahun 1961 ketika Utusan Melayu diambil alih; ia berlaku sekali lagi pada tahun 1987 sewaktu pemerintah menggantungkan lesen The Star, Sin Chew Jit Poh dan Watan. Penangkapan yang terbaru berlaku selepas pilihanraya 1999 ketika Kementerian Dalam Negeri mengurangkan kekerapan penerbitan Harakah, dan mengharamkan Eksklusif, Detik dan Wasilah.

Selain daripada penangkapan pada masa tertentu ini, mereka yang mempunyai kuasa selalu menyalahgunakan media secara terang-terangan. Dalam kempen pilihanraya, parti pemerintah memperalatkan dan memonopolikan media dengan memberi penekanan terhadap ketidakstabilan politik dan ekonomi, dengan mencetuskan ketakutan etnik, dengan memburuk-burukkan parti pembangkang, dan dengan mengherot-berotkan pandangan mereka. Dalam keadaan yang lain, media telah melakukan pemutar-belitan, spekulasi yang tak berasas, pembohongan dan pemburukan watak.

Perbuatan memanipulasikan media dan melakukan pemberitaan yang memihak mesti dihentikan. Media akan hilang kredibilitinya jika ia gagal mempertahankan darjah etika kewartawanan dan profesionalisme yang tertinggi.

Sebagai satu petanda yang sedih mengenai keadaan media kita, badan antarabangsa yang bernama Committee to Protect Journalists (CPJ) telah menamakan Perdana Menteri Mahathir Mohamad sebagai seorang daripada Sepuluh Musuh Akhbar bagi tahun keduanya pada 2000. Malaysia sekarang mengekori negara-negara Asia Tenggara seperti Filipina, negara Thai dan Indonesia yang mana telah mencapai kemajuan dalam kebebasan media dengan dibantu kuat oleh masyarakat madani.

Jika kita mahu membina sebuah masyarakat yang benar-benar demokrat, media bukan sahaja perlu peka terhadap keperluan masyarakat, bahkan perlu bebas menjalankan fungsinya. Selagi media masih terkongkong, hak rakyat Malaysia untuk bersuara dengan bebasnya akan dicabuli.

Sekatan Media

Kebebasan media tersekat melalui tiga cara: melalui undang-undang yang mengongkong; melalui pemilikan media oleh parti politik dan peniaga individu yang 'mempunyai jalan'; dan melalui penapisan sendiri (self-censorship) oleh editor dan wartawan.

Pelbagai undang-undang yang menekan (repressive), termasuk Akta Mesin Cetak dan Penerbitan (AMCP), telah digunakan untuk menyekat akhbar. AMCP memerlukan semua penerbit memohon satu permit terbitan setiap tahun. Keperluan ini tidak menggalakkan penerbit mengamalkan lebih kewartawanan penyiasatan. Penerbit yang telah menanam banyak modal mempunyai sebab untuk bersikap takut kerana permohonan lesennya tidak akan diluluskan jika dia tidak mengikut kehendak pihak yang berkuasa.

AMCP bukan sahaja mengawal penerbit; ia juga memerlukan firma pencetak memohon lesen pencetak setiap tahun. Oleh itu ini menyebabkan ramai penerbit berasa gusar untuk mencetak bahan-bahan dari penerbit yang kritis.

Undang-undang lain yang turut mengongkong seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri, Akta Hasutan, dan Akta Rahsia Rasmi mempunyai kesan yang menggerunkan terhadap kebebasan akhbar di Malaysia. Undang-undang ini menghindar wartawan dari melakukan pemberitaan yang bebas dan menyiasat manakala undang-undang ini membuat editor bersikap terlalu berjaga-jaga hingga melakukan penapisan sendiri.

Pada masa kebelakangan ini, pihak politik dan peniaga yang berkuasa telah menggunakan saman berjuta-juta ringgit sebagai satu kaedah untuk menghukum dan mendiamkan wartawan dan orang lain yang menulis secara kritis mengenai golongan berkepentingan tersebut.

Setelah merasa kecewa akibat daripada usaha pemerintah untuk mengawal dan menyekat berita, ramai orang Malaysia telah menghala kepada Internet. Mereka serang menggunakannya untuk mengamalkan kewartawanan yang lebih rancak dan mendapatkan perdebatan awam yang bebas. Kita mengalu-alukan kehadiran media yang berasaskan Internet tetapi kita masih perlu bersikap berjaga-jaga terhadap usaha-usaha untuk mengenakan sekatan berbau politik terhadap alam maya.

Tetapi oleh kerana kebanyakan orang Malaysia yang masih lagi tidak mempunyai akses kepada Internet, media cetak masih lagi mempunyai peranan yang penting dalam proses membentuk pendapat umum.

Prinsip

Berpandukan keprihatinan di atas, Piagam ini menyanjung prinsip berikut yang bertujuan untuk merealisasikan kebebasan media di Malaysia:

1. Media mesti majmuk, demokratik dan senang didekati

Untuk membolehkan kebebasan media menjadi subur, pihak pemerintah mesti hapuskan semua undang-undang yang mengongkong. Media tidak boleh menjadi monopoli parti politik dan kepentingan komersil yang berkait rapat dengannya. Satu kerangka undang-undang dan ekonomi harus dibangunkan untuk membolehkan serta memantapkan akses universal dan pemilikan terhadap media yang alternatif, partisipitori, demokratik dan bebas.

Hak politik dan sivil, lebih-lebih lagi yang berkaitan dengan jaminan terhadap perbincangan terbuka, debat, kritikan dan pandangan bercanggah adalah asas kepada proses menerbitkan pilihan yang berwibawa. Proses ini adalah penting dalam membentuk nilai-nilai dan prioriti dan boleh membantu dalam mengamati dan menangani masalah sosial, ekonomi dan politik.

Dalam tahun-tahun yang baru lepas, media telah menjadi begitu korporat dan ini dikuti dengan kawalan lebih ketat oleh pihak yang berkepentingan politik dan ekonomi. Dengan adanya haluan ke arah pasaran dan keuntungan, kepentingan kumpulan dalam masyarakat yang terkeluar daripada kawasan pengaruh elit telah mulai banyak terbiar dan dikongkong.

Oleh itu adalah mustahak untuk kita mendapatkan pelbagai media bebas yang menyediakan saluran alternatif bagi membolehkan luahan aspirasi sebuah masyarakat yang pelbagai dan majmuk dari segi ekonomi dan sosial.

Media yang dibiayai dan kendalikan oleh pihak berkuasa mesti diberikan ruang untuk beroperasi secara bebas dan profesional bagi membolehkannya mewakili secara berwibawa kepentingan pelbagai jenis rakyat biasa. Ini adalah amat berbeza dengan media yang dimiliki pihak korporat dan yang berkaitan secara politik, yang akhirnya hanya mewakili agenda para pemiliknya.

2. Media mesti mempunyai komitmen untuk mempertahankan hak manusia, demokrasi dan pemerintahan mengikut undang-undang

Media mempunyai peranan yang penting untuk dimainkan dalam sistem 'checks and balance' demokrasi yang progresif. Media mesti berjaga-jaga dalam mempertahankan demokrasi dengan mendedah dan mengkritik penyelewangan kuasa, rasuah dan pencabulan hak manusia. Media mesti berani menjadi pro-keadilan dan pro-aktif dalam usaha mempertahankan martabat manusia.

3. Media mesti mempertahankan tanggungjawab yang etikal dan profesionalisme

Media mesti beroperasi sebagai satu 'amanah orangramai', cenderung dan berkuasa untuk mempertahankan kepentingan masyarakat. Media mesti menjalankan kewrtawanan etikal dan penyiastan dan mempertahankan piawai kewibawaan profesional yang tertinggi dengan menyediakan pemberitaan yang betul dan jitu. Media jangan sekali-kali melibatkan diri dalam usaha menyebar khabar angin yang berbau politik, pemancingan etnik dan agama, dan pencabulan 'kawasan peribadi'.

Sistem latihan dan sosialisasi pegawai media harus direformasikan sepenuh-penuhnya agar wartawan menghayati keberanian, jatidiri, kebolehan untuk membuat perhitungan dan pemikiran kritis apabila membuat pemberitaannya. Universiti dan kolej yang menyediakan kursus kewartawanan dan latihan media mesti mempunyai keadaan yang bebas dan memberangsangkan supaya pelajar kewartawanan dapat menghargai kepentingan sosial dan politik mengenai kewartawanan bebas dan baik dalam masyarakat. Ini adalah satu sebab yang lain kenapa perlu dihapuskan Akta Universiti dan Kolej Universiti yang mengongkong alam akademik.

Bantuan perlu diberikan bagi menyokong program latihan bagi pekerja media dan untuk membolehkan media bebas menjelma. Wartawan juga perlu diberikan perlindungan penuh di bawah undang-undang yang adil yang akur kepada undang-undang manusiawi antarabangsa. Wartawan juga mesti mempunyai akses yang selamat dan bebas terhadap sumber maklumat.

4. Media mesti secara sedar menegakkan keadilan, kebebasan dan solidariti

Media mesti memajukan perpaduan dengan menggalakkan dialog antara agama dan pemahaman mengenai warisan budaya dan tradisi. Media mesti membina penerimaan dan pemahaman di kalangan pelbagai golongan etnik dan meraikan perbezaan di samping dipandukan setiap masa oleh prinsip keadilan, kebebasan dan solidariti.

Tiada masyarakat boleh mencapai keamanan dan stabiliti yang sebenarnya tanpa keadilan, termasuklah keadilan sosial. Keadilan harus menjadi prinsip utama bila media memfokus terhadap pelbagai isu, dan lebih-lebih lagi jurang dan ketidakadilan sosio-ekonomi yang masih lagi mewarnai masyarakat kita.

5. Media mesti memberi kuasa kepada kumpulan yang terpinggir, tertekan dan miskin

Media harus perlu berbuat sesuatu yang lebih daripada memberi wadah kepada mereka yang tidak mempunyai hak bersuara. Media juga perlu memberi kuasa kepada sektor yang terpinggir dalam masyarakat. Ini boleh dilakukan dengan:

  • membuat wartawan peka terhadap kehidupan, pengalaman, deritaan dan aspirasi komuniti yang terpinggir atau tidak berkemampuan supaya media dapat memaparkan keperluan dan tuntutan komuniti dengan cara yang terang dan jitu.
  • menyediakan saluran kepada golongan individu yang terpinggir dan tertekan untuk menyuarakan ketidakpuasan, mengenengahkan ketidakadilan, dan untuk memikirkan strategi perubahan sebagai satu kaedah untuk membolehkan mereka berdikari.
  • memajukan peluang yang cukup kepada komuniti tempatan dan pinggiran, kesatuan sekerja dan kumpulan kepentingan awam bagi mendirikan media mereka sendiri.

Pendemokrasian media mesti melibatkan pembesaran ruang awam bagi perdebatan dan perbincangan supaya semua rakyat, tanpa mengira latarbelakang sosio-ekonomi, akan lebih mengetahui dan diberi kuasa untuk melibatkan diri dalam penyiasatan, pembuatan keputusan, tindakan politik dan pembentukan dasar.

Tuntutan Kami

Bagi merealisasikan hal di atas, kami, sebagai rakyat Malaysia, menuntut perubahan berikut dalam suasana media dalam negara kita:

  • penggubalan Akta Kebebasan Maklumat, yang mana peruntukannya mesti berasaskan penilaian dan cadangan dari pelbagai kumpulan dan individu.

  • Pemansuhan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan, Akta Keselamatan Dalam Negeri, Akta Rahsia Rasmi, Akta Universiti dan Kolej Universiti, dan klausa mengongkong dalam undang-undang lain. Khususnya, pemerintah mesti hentikan amalan memestikan penerbit dan pencetak memohon lesen untuk menerbit. Pemerintah juga harus menggubal undang-undang yang mengelakkan pemberian gantirugi saman malu yang keterlaluan sebagi satu cara mendiamkan kewartawanan kritis.
  • Mendirikan majlis media yang benar-benar bebas yang mengawal dirinya, yang serupa dengan majlis media di negara lain seperti Indonesia, Filipina dan negara Thai. Keahlian majlis ini mesti terdiri daripada pekerja media, wakil pemerintah dan pembangkang, aktivis hak manusia, peguam dan wakil awam. Majlis media ini akan menangani segala rungutan dan konflik yang melibatkan media, melindungi media daripada campurtangan daripada pihak berkepentingan, dan memberi kuasa serta menyediakan akse kepada golongan pinggiran.
  • Penghentian penyalahgunaan dan manipulasi terhadap media yang dimiliki pemerintah (seperti Radio Telivisyen Malaysia) oleh parti pemerintah. Parlimen mesti menggubal rang undang-undang bagi menentukan media milikan pemerintah mempunyai darjah kebebasan yang tinggi dalam bentuk dana, jawatan, agenda dan prioriti, dan kandungan berita. Kami menuntut media milik pemerintah yang bertanggungjawab dan bebas dengan unsur-unsur perlindungan yang termaktub.
  • Pengubahpulihan media publik dan persendirian adalah untuk memastikan profesionalisme dan piawaian etika yang bertaraf tinggi di samping memajukan keadilan, kebebasan dan solidariti. Reformasi sedemikian rupa harus menjadi hasil daripada inisiatif dalam media dan tekanan luaran dari masyarakat. Selain dari itu, kami menuntut taraf profesionalisme dan kejituan yang tinggi dari media yang dimiliki parti politik, sama ada dari parti pemerintah maupun pembangkang.

 

Agenda untuk Perubahan

Kami amat percaya percaya bahawa semua sektor dalam masyarakat � pemerintah, orang ramai, dan komuniti media yang sedia ada � akan meraih manfaat daripada media yang mengalamai reformasi. Oleh itu kami meminta sokongan luas bagi inisiatif ini serta penglibatan dari semua golongan dalam masyarakat.

Piagam 2000, satu inisiatif media rakyat, akan merupakan satu badan yang merangkumi usaha untuk mereformasi dan melebarkan ruang media. Ini akan meningkatkan kesedaran awam tentang perlunya kebebasan media yang lebih luas dan juga akan menjadi asas bagi umum melobi reformasi ini.

Berdasarkan prinsip yang terkandung dalam piagam ini, tindakan yang tertentu dan tersusun menjadi perlu bagi membentuk solidariti di kalangan kumpulan dan individu berkenaan mengenai kebebasan media dan untuk merealisasikan matlamat bagi jangkamasa pendek dan sederhana.

Tindakan-tindakan ini merangkumi:

  • sokongan kepada piagam ini oleh pelbagai kumpulan dan individu ternama
  • pembentukan satu rangkaian kumpulan dan individu ini
  • pengwujudan beberapa siri mesyuarat dan bengkel bagi rangkaian ini dengan tujuan mencapai tuntutan piagam ini yang akhirnya menghasilkan satu tribunal rakyat bagi mencari dan mendokumentasikan aduan penyalahgunaan media dan menghebahkan dapatan ini
  • rujukan kepada rangkaian ini bagi mencari pelbagai kaedah untuk merealisasikan tuntutan piagam ini. Kaedah ini termasuk:
    • merancang pelbagai jenis boikot seperti:

+ boikot NGO terhadap media yang memajukan bohongan dan distorsi

+ boikot awam terhadap media berkenaan

+ boikot awam terhadap produk yang diiklankan dalam media berkenaan

    • pembentukan satu badan mengawasi media secara tersusun bagi mendedahkan bohongan dan distorsi dalam media
    • pembentukan demonstrasi dan pemfailan laporan polis terhadap organisasi media yang terus menyiarkan bohongan dan distorsi.

 

Piagam 2000 adalah satu luahan rakyat Malaysia yang inginkan media yang bebas dan bertanggungjawab di negara mereka. Melalui Piagam 2000 ini, kami menuntut reformasi terhadap alam media agar orang biasa boleh menikmati hak mereka untuk mencapai kebebasan maklumat dan kebebasan bersuara.